Thursday, October 9, 2014

Meow-e-1

Lahirku serta tiga lagi saudara kembarku, bersambut bunyi klik beberapa kamera telefon bimbit serentak. Masa tu aku langsung tak dapat mendengar sebenarnya. Telingaku masih terkelepek rapat ke mukaku dan diseliputi lendir dan darah yang kemudiannya dijilat ibu. Mataku jugak terpejam kejap, sambil keempat-empat kakiku menggagahkan melangkah menuju bau yang kukenal amat. Bau ibuku. Gerak rasa buat aku mencari ibu untuk menyusu. Kudengar suara-suara manusia di tepi sangkar. Sangkar berjerejak putih yang besar itu menempatkan kesemua kami. Cerita ibu, ini pengalaman melahirkannya yang pertama. Oleh itu, Mak Nis dan Kakak Atif tak henti-henti membantu mengusap dan mengurut perut serta memberi kata-kata sokongan. Cerita ibu lagi, aku dikira yang sulung kerana lahir dahulu, walaupun tubuh akulah yang kecil sekali antara keempat kami. Setelah melahirkan adikku, Glow-e, ibu berehat dan hampir tertidur dek penat sangat. Dia sendiri tak pasti samada ada lagi tak anak-anak lain yang bakal keluar. Akhirnya, lahir juga adik-adikku yang dua lagi, Star-e dan Sharp-e....ada cerita di sebalik setiap nama kami...rupanya. Nanti saya sambung ya, buat masa sekarang saya sangat-sangat lapar. Mmm..eee...ooo..wwww..

Wednesday, February 26, 2014

SESEKALI...

Sesekali, izinkan mereka lepas bebas di udara, walau ia telah dicemari toksik dan lapisan ozon menipis; sesak nafas, pulanglah mereka
Sesekali, benarkan mereka membenam tubuh di laut biru sungguhpun ia penuh obor-obor dan titisan halus tumpahan petroleum, pedih kulit, kembali ke pantailah mereka
Sesekali, kenalkan mereka dengan petak sawah penuh selut dan lintah, biar tahu membeza harum padi masak dan bau sekam terbakar, belajar mengenal lampam dan puyu, sepat dan belut agar dapat diceritakan pada Mama Papa yang tidak pernah punya masa lagi untuk perkara remeh sebegitu
Sesekali, ingin rasanya menutup mata mereka, lepaskan jauh-jauh di sempadan sana agar berdikari mencari jalan kembali
Sekolah kehidupan anakku, ialah apabila kita merasai sendiri sakit letih payah jerih orang lain dan mengkaji alam indah ciptaanNya agar tampil mensyukuri setiap nikmat yang selama ini diterima hatta tanpa perlu menguiskan kakipun...

Sunday, January 19, 2014

Akar dan banir

Akar yang bersimpang-siur
Mencengkam
Menjalar
Berjuraian
Batang yang tegap
Padu menyokong
Dahan yang berselirat
Mencambahkan pucuk dan dedaun
Berlumba mencari cahaya
Bersama mencernakan zatnya
Agar pepohon teguh berdiri
Membesar memberi teduh
Memadat tanah
Mengelak rekah dan runtuh
Daun berguguran
Membentuk kompos
Membaja semula pepohon....

Saturday, January 18, 2014

Catatan luka

Menconteng hati yang luka
Menggores dan menggores
Agar tiada lagi ruang
Untuk menambah pedih
Agar tiada lagi isi yang boleh ditoreh
Agar yang aku rasa
hanya siksa dan sakit
Di celah-celah rasa
kebas yang menggigit

Salam ukhuwwah

Pantunku ini pemula bicara

hijau kusangka daun
Keli kusangka haruan
Hilang rindu bertahun
Dapat bertemu sahabat sehaluan

Tenang airnya kolam puteri
Tempat sang bunian singgah mandi
8805 nombor diberi
Tak sangka signifikannya hingga kini

Windchimes in the wind

I sit and look
at the windchimes in the wind
Oh how my heart felt
So peaceful and serene

Sang camar

Kantuk mengetuk kamar
Lalu lena menyapa mata
Tidurlah wahai sang camar
Esok kibas-kibaskan sayapmu
Terbanglah semula

Sungai masa...

Sungai masa
Maju ke muara
Sungai waktu
Mengalir laju
Tanpa menunggu
Suatupun yang lalu